Tuesday 19 December 2017

Kita Hanya Merancang

Gem 7 baru mendapat keputusan UPSR dan PSRA. Keputusan PSRAnya tersurat seperti yang diharapkan. Tetapi keputusan UPSRnya tidaklah sebegitu. Maka, ada riak-riak kesedihan kerana ia akan membataskan peluang ke sekolah idamannya.

Tapi perancangan Allah tidak kita tahu. Di akhirnya, Gem 7 dapat ke sekolah idamannya dengan menggunakan keputusan sedia ada sahaja. Sungguh, kita tidak tahu. Bila pintu rezeki terbuka, ia bukan hanya satu. Ia berpintu-pintu. Jika, sudah tersurat, maka .. masuklah dari mana-mana pintu yang telah dibukaNya.

Lalu, saya terbayang.. betapa Allah mendengar doa hambaNya di sepertiga malam. Terkenang kegigihan Gem 7 menyatakan hasratnya di ketika itu dengan tekun dan sungguh-sungguh. Sungguh.. Allah Maha Mendengar.

Monday 6 November 2017

Doa Dari Jauh Buat Gem 6

Cepat masa berlalu. Tidak terasa hampir dua tahun telah berlalu ketika Gem 6 mengharap sangat-sangat untuk ke asrama penuh selepas tingkatan 3. Kini, Gem 6 sedang mengharungi SPM nun jauh di pantai Timur.

Dua minggu lepas, telah pergi menemui beliau sempena majlis graduasi. Jarak tidak membenarkan lawatan dibuat seperti ketika Gem 5 menghadapi SPM tahun lepas.

Pun begitu, ketika ini, seluruh keluarga sedang mengirim doa, semoga Allah memberikan kejayaan yang cemerlang untuk semua.

Sungguh, Allah tempat meminta. Semoga Allah berikan kejayaan luar biasa untuk Gem 6 serta rakan-rakannya. Aamiin.

Friday 29 September 2017

Dengan Solat dan Sabar

Alhamdullillah...  Beberapa ujian besar telah berlalu. Ujian-ujian itu kerap kali datang bertindan-tindan dari pelbagai arah. Kadang-kala ia terasa sangat berat seperti tidak ada penghujungnya. Jika dulu, saya kira saya akan terpelanting dari sudut ke sudut merintih dan mengeluh. Tapi kali ini saya bertekad untuk tidak mengulangi lagi dengan pendekatan yang sama sebaliknya mengikut saranan Al-Quran.. jika diuji .. solat dan sabar.

Misalnya, ketika Gem 4 hanya mempunyai masa dua bulan untuk menguruskan pemergiannya, sedangkan tidak ada tempat untuk pergi. Di saat-saat akhir, satu demi satu universiti yang dilamar menghantar jawapan yang melemahkan - tidak terima atau jangka masa yang ditawarkan 3 tahun. Sedangkan penaja hanya memberi masa 2 tahun. Ada kalanya, pilihan universiti yang sangat diharapkan memberi jawapan tetapi jawapan itu tidak diterima-terima. Terasa cepat sungguh masa berlalu menuju ke suntuk. Pada siapa lagi hendak mengadu? Sesekali terasa ingin meminta semua kaum keluarga dan sahabat handai untuk tolong berdoa. Sesekali terasa ingin benar meminta para solihin untuk tolong berdoa. Tetapi, keinginan itu dimatikan. Kenapa tidak kita sendiri.. sungguh-sungguh berdoa. Sungguh-sungguh.

Lalu, saya katakan pada Gem 4 ketika meraikan kedatangan Ramadhan. Mari kita berdoa dalam setiap waktu sujud. Maka inilah yang kami lakukan. Rahmat Ramadhan datang bersama bilangan sujud yang banyak -  solat wajib, Dhuha, Hajat dan solat Rawatib, Terawih 20 rakat dan Witir. Allahu... di saat itu kami mengadu. Terasa manisnya ketika itu mengadu domba kesusahan dan kegelisahan pada Tuhan yang Memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi dan apa yang ada di antara keduanya.


Saat melambai ini... dua bulan lalu seperti mimpi yang hampir mungkin tidak jadi nyata. Sungguh Allah menguji... 

Tuesday 5 September 2017

Antara Untung dan Rugi

Dalam hidup ini, entah disedari atau tidak, kita sentiasa berkira-kira. Mencongak dalam bentuk untung dan rugi dalam kebanyakan perkara. Selalu benar rasanya, kita akan berkata-kata di sudut hati.. "Alangkah untungnya si Polan X kerana mendapat itu"... "Untungnya si Polan Y kerana berjaya..." atau "Untungnya si Polan Z kerana anaknya....". Seringkali yang untung itu mereka. Dan kita pula selalu rugi. "Ruginya... kalaulah aku buat begini... sudah tentu aku mendapat begitu..". Akhirnya, yang nampak kerugian kita itu besar, dan untung yang kita punya hanya sedikit.

Namun, dalam perjalanan hidup ini, cuba renung sejenak. Tarik nafas dalam-dalam dan perhati. Betapa, yang suatu ketika itu kita melihat sesuatu itu rugi, tapi  Allah SWT menjadikan ia untung dalam perspektif dan ketika yang berbeza.

Misalnya, Gem 3, perjalanan persekolahannya tidak semanis yang diimpi. Ketika berharap-harap dapat merantau ke negara asing menuntut ilmu selepas keputusan SPM, ia tidak jadi nyata. Antara alasannya, keputusan tidak sangat cemerlang dan kursus yang diambil tidak tersenarai untuk sebarang tajaan ke luar negara. Maka, dalam kesedihan memerhati rakan-rakan lain terbang, sudah tentu kita meletakkan diri pada tempat yang rugi kerana di atas peluang yang hilang itu.

Atau tentang Gem 4, yang dapat keputusan SPM yang cemerlang, tetapi terpilih untuk melanjutkan pelajaran di tempat yang tersisih. Kerap kali, pertanyaan yang sama datang ke fikiran, tersalah pilihkah? Pun begitu, kehidupan Gem 4 di sana diteruskan dan redha.

Siapa sangka, Gem 3 yang kelihatan rugi itu, telah mendapat peluang bekerja di negara ufuk timur. Dan Gem 4 pula mendapat tajaan menyambungkan pelajarannya di ufuk Barat. Ia datang ketika kami tidak berani mengharap. Dalam zaman yang gawat ini dan persaingan yang sangat sengit, siapa mampu untuk yakin.

Ketika hidup dalam tidak yakin itu, rupa-rupanya ia satu cara untuk berlari mengharapkan pertolongan Allah. Dalam jaga, antara duduk, bangun dan berlari .. doa terus dipanjat-panjat.

Sungguh Allah Maha Mendengar.

Di satu ketika yang kita merasa rugi itu, sebenarnya membuka jalan untuk untung. Cuma dalam perspektif yang berbeza dan pada ketika yang kita tidak sangka.

Friday 14 July 2017

PhD - Perjalanan yang Menagihkan Rasa Amanah

Suatu masa dulu saya tidak pernah membayangkan bahawa suatu masa nanti di masa hadapan saya akan memiliki sijil PhD dan meyelia pelajar PhD. Saya kira, sijil tertinggi itu tidak mampu dimiliki. Kadang kala ketika kita merasa tidak mampu, takdir Allah telah membuka peluang yang tidak mungkin itu.

Sudah tentu perjalanan memburunya penuh liku. Barangkali kerana saya perlu melepaskan banyak perkara untuk berhijrah ke negara asing, menjadikan saya sangat berkira-kira. Orang kampung semua dah tahu. Rakan sekerja sudah meraikan jamuan selamat jalan. Suami sudah berhenti kerja. Kereta sudah dijual. Rumah sudah disewa. Maka, ia satu perjalanan yang sangat berharga dan tidak boleh pulang dengan berputih mata. 

Hampir 5 tahun saya berjuang di negara asing. Negara maju yang rakyatnya  arif dengan teknologi baru dan membudayakan penyelidikan seawal di tadika. Maka, saya akur perjalanan PhD saya bukanlah mudah. Apatah lagi kedua-dua penyelia saya tidak akan menerima sebarang isu remeh-temeh. Bagi mereka, seseorang calon PhD sudah dewasa untuk menyelesaikan sebarang masalah teknologi dan peribadi. Dan saya tidak pernah mengadu domba apa-apa masalah kepada mereka. 

Pada masa yang sama, saya sentiasa akur bahawa ketika saya menjalani perjalanan PhD ini, saya ditaja sepenuhnya. Bukan setakat yuran pengajian, elaun hidup di perantauan, malah gaji saya juga berjalan tanpa saya perlu hadir ke tempat kerja. Biayaan ini tidak murah. Kerana itu saya terasa beban itu sebagai satu amanah yang saya perlu sentiasa ingat dan galas. Amanah itulah yang menghambatkan saya melakukan beberapa perkara yang saya kira wajib:
  1. Hadir ke lab seperti mana saya wajib hadir ke tempat kerja (sekurang-kurangnya 8 jam sehari).
  2. Bertemu dengan penyelia setiap minggu dan melaporkan kemajuan mingguan. Jika tidak mampu melaporkan apa-apa, saya akan gundah-gulana dan berusaha juga mengadakannya dengan kreativiti yang ada, kerana penyelia-penyelia saya tidak akan terima sebarang perjumpaan dengan tangan kosong untuk kerja-kerja seminggu yang lalu!
  3. Bekerja berselang-seli dalam sehari.. membaca, menulis tesis, menulis artikel dan menulis kod.
  4. Memenuhi arahan penyelia untuk menghantar laporan secara  berkala.
Inilah resepi saban hari. Selama hampir 5 tahun. Akhirnya dengan resepi ini, Allah mentakdirkan saya untuk berjaya. Ia rahmat dariNya. Kita hanya perlu berusaha. Kejayaan milik Allah, hanya Dia yang Menentukan.

Saat ini, ketika sudah 8 tahun saya pula menjadi penyelia, saya boleh mengira-ngira antara calon PhD manakah yang akan berjaya. Jika dari mula tidak mampu untuk bekerja 'PhD' sepenuh masa dan memikul amanah seperti makan gaji, maka perjalanan PhD itu mungkin akan jadi cuma mimpi. Mana mungkin ia datang bergolek ke pelukan, jika usahanya hanya sekadar suka-suka. Jumpa penyelia bila dirasakan senang. Seminggu ... sebulan... satu semester.... tiada progres. Akhirnya, semester akan terus berlalu ke titik penamat bersama amanah yang tidak tertanggung. Salah siapa? Jika soalan itu ditanya pada kedua-dua penyelia saya, saya sudah tahu jawapan jitu dari mereka... "Salah kamu kerana kami hanya penunjuk jalan.. kamu wajib mencari jalan itu.. Ingat! PhD itu anda punya.. bukan kami atau mereka..".  Biar hampir sedekad saya telah meninggalkan penyelia-penyelia itu, kata-kata tadi tetap tersemat di hati. Amaran tersirat yang menghambat saya memikul amanah yang sengaja dicari itu.





Sunday 18 June 2017

Bila Takdir Tercepat

Ramadhan kali ini rasa cepat sangat berlalu. Barangkali, rutin menjadi sangat fokus. Malah, tatacara melalui Ramadhan juga sudah berbeza. Rasanya ini rekod bulan Ramadhan tanpa berkunjung ke bazar Ramadhan seperti selalu. Di celah-celah kemelesetan ekonomi, ada juga hikmahnya yang tersirat. 

Atau mungkin Ramadhan terasa cepat kerana minda tidak selesa memikirkan urusan Gem 4 melanjutkan pengajiannya masih tidak terurus. Pintu-pintu permohonan sudah hampir ditutup. Malah, ada jawapan yang sudah diterima  memberi petanda gagal. Akhirnya, terpaksa mengambil cuti untuk berurusan dengan agensi-agensi yang terlibat. Pagi-pagi lagi sudah menapak ke pejabat MARA. Bertemu dengan individu-individu penting yang menguruskan biasiswa. Ketika itulah baru tahu bahawa Gem 4 mendapat tawaran luar biasa. Setahun lebih awal dari sepatutnya. Itulah puncanya minda dan urusan kami bercelaru kerana tidak bersedia.

Lalu, saya termenung sejenak memikirkan kisah-kisah biasa tentang lambatnya menanti sesuatu takdir tersurat. Puas bergelumang dengan penantian yang seperti tidak berakhir. Tetapi, kali ini apabila takdir dipercepat tanpa penantian, rupa-rupanya minda dan urusan pun menjadi celaru juga. Satu pengajaran hidup dapat diraih bahawa kadang-kadang Allah melambatkan kerana tahu kita tidak bersedia. Sesungguhnya perancangan Allah Maha Hebat kerana Dialah yang Mencipta dan Mengatur semua urusan hidup dan mati kita. 

Redha....

Sunday 28 May 2017

Berdamai Dengan Takdir

Beberapa hari lepas, ketika berjalan menuju ke kelas, sempat bersembang-sembang dengan rakan sekerja di sepanjang perjalanan ke situ. Kata rakan sekerja, dia tertarik dengan satu ceramah seorang ustaz yang mengutarakan satu cadangan: Berdamailah Dengan Takdir.


Ya.. kita dengan takdir tidak dapat dipisahkan. Jika yang tersurat ke atas kita kejayaan, kemurahan rezeki, kesihatan yang sempurna, hidup yang tersusun... maka takdir itu tidak kita musuhi. Tapi sekiranya, takdir itu satu kesedihan, kesakitan, kegagalan.. lalu perkataan yang mungkin akan terpacul mungkin seperti.. Kenapa aku? Maka apa yang tersurat pada saat itu akan mengundang kemarahan dan tidak puas hati dengan takdir ujian ini.

Perhatikan sepanjang kehidupan kita.. selalunya kita akan diuji pada titik kehidupan yang kita selalu bercita-cita untuk mendapatkan yang terbaik, tertinggi, terpantas, terbanyak, terkaya..... semua keindahan imaginasi pada tahap maksima. Kita selalu diuji pada titik ini. Contohnya jika kita ingin perkara X berlaku dengan segera, puas dinanti, berbulan, bertahun, X tidak muncul sehingga kini. Ketika itu kita sering akan melihat sekeliling dan merasa sangat tidak puas hati pada kehidupan ini, kerana Si Polan itu dan Si Polan ini sudah mendapatkannya dengan mudah dan bersahaja. Tidak tersiksa jiwa raga seperti kita. Maka, ketika ini kita akan merasa tidak puas hati dengan gundah gulana ini. Kita seperti bermusuh dengan takdir hidup yang Allah SWT suratkan untuk kita.


Kata ustaz, tidak ada cara lain untuk memujuk hati dan menenangkan kehidupan kecuali redha dengan takdir yang tersurat itu. Usah membenci. Usah merungut. Usah bersedih. Usah bergundah gulana.. berdamailah dengan takdir yang tersurat dengan redha. Percayalah di hujung sana tetiba kita akan terasa manisnya suratan takdir yang tidak disenangi itu.. kerana dengan kepayahan itu kita telah temui cara untuk berlari mendekati Tuhan yang selalu kita lupa ketika kita ditakdir dengan yang senang-senang sahaja!

Monday 22 May 2017

Kita Merancang, Tapi Perancangan Allah Terhebat

Beberapa bulan lepas, saya telah menulis entri ini http://sevendrops.blogspot.my/2017/01/kita-tidak-tahu.html. Saya kira ketika itu, banyak persoalan dalam hidup yang belum terjawab. Semakin banyak yang dirancang, semakin banyak yang perlu di nanti. Kerana sesungguhnya, rancangan itu jarang yang cepat menjadi kenyataannya. Seringkali, rancangan yang saban waktu diatur itu, ingin sekali dilihat kemenjadiannya. Jika tidak, kita akan merenung berhari-hari, berbulan-bulan dan paling lemah ianya memakan tahun. Jika perancangan tidak menjadi, maka banyak persoalan mengasak minda.


Apabila persoalan itu selalu ditenung satu per satu .. maka ianya akan menimbulkan pertanyaan demi pertanyaan tentang bilakah ia akan terjawab. Sungguh.. kesabaran dan penantian seperti tidak boleh duduk bersama di dalam situasi.

Kerana itu kita perlu memujuk diri. Tidak adalah jalan pintas semasa menanti melainkan berlari merapatkan hati pada Tuhan yang Satu.

Kini, selepas mengalami kebuntuan, ada rancangan semalam yang sudah jadi nyata. Sudah tentu bukan pada tarikh dan waktu yang kita minta atau sangka. Sungguh.. perancangan Allah Maha Hebat. Ketika Dia memberi.. ia seperti cantuman terakhir pada papan 'puzzle' - kena sungguh pada tempat dan ketikanya...

Benarlah.. kita hanya merancang. Tapi Perancangan Allah adalah yang Terhebat.

Thursday 27 April 2017

"Seek the Signs of Allah" - Jumpa di PWTC pada

Alhamdullillah ...

Akhirnya selepas mengalami perjalanan yang sangat berliku.. akhirnya buku ini sudah mendapat tempat di Pameran Buku Antarabangsa yang telah bermula pada hari ini di PWTC.

Jumpa di sana pada pukul 2-4 petang, 1 May 2017 untuk sesi bersama penulis!

Jumpa di sana...



Sunday 26 March 2017

Yang Tersurat

Pada 16 Mac yang lepas keputusan SPM Gem 5 diumumkan. Sudah tentu untuk menanti tarikh itu sangat mendebarkan kerana segalanya ada kemungkinan. Pencapaian Gem 5 selama dua tahun  di Sekolah Menengah Alam Shah selalu terumbang-ambing. Ada pencapaian yang naik, tapi ada pula yang turun. Ada subjek yang masih tergaru-garu kepala apabila ditanya tentang pencapaiannya. Jika diam, maka tahulah ia tidak baik. Kerana itu, takut untuk membuat sebarang jangkaan.

Pun begitu, pada hari sebelumnya, saya masih berimaginasi. Dalam lucu saya katakan kepada rakan sekerja, saya masih berangan menerima panggilan untuk Gem 5 mengambil keputusan di Jabatan Pendidikan. Jika dapat panggilan itu, bererti Gem 5 mendapat 9A+! Lalu, sambil ketawa kami melakonkan apa yang akan berlaku ketika itu. Glamour! Kami sama-sama ketawa. Yang pastinya, panggilan bayangan itu tidakpun diterima.

Pada hari yang dinanti, kami bertolak pagi-pagi. Sempat bersarapan. Ketika tiba di sekolah, ramai pelajar dan ibubapa sudah berada di perkarangan sekolah. Kata guru besarnya, keputusan akan diumumkan pada pukul 11 pagi. Ahh... sejam lagi. Kami masuk ke dewan, mencari posisi kedudukan hampir di hadapan. Di group whatapps ibu-ibu pula, ada guru yang bertanya... siapa nak tahu keputusan anak sekarang, sila hantar mesej kepadanya. Ahh... takutnya untuk bertanya. Ketika itu juga, seorang murid berbangsa Cina berlari-lari ke depan untuk mendapatkan ibubapanya yang betul-betul duduk di depan kami. Katanya dengan termengah-mengah 'I got 9As"! Lalu, saya terus mencari Gem 5 yang berdiri di belakang dewan. Tidak nampak kelibat beliau. Apakah beliau sudah tahu keputusannya? Keputusan sudah boleh diperolehi secara online

Jantung berdegup lagi kencang apabila melihat guru besarnya melangkah ke pentas. Dalam ucapan, beliau memberi laporan sepintas lalu. Katanya 64 orang mendapat Straight As. Bersamaan dengan 40%. Saya mengira-ngira kedudukan Gem 5 dalam tingkatan. Harapan seperti ada, tetapi apakah takdir yang tertulis? Tiba-tiba terdengar kata-kata pengacara "Majlis anugerah sijil ini dimulai dengan kelas Amanah". Baru sedang berfikir-fikir Gem 5 di dalam kelas Amanah kah? Belum sempat otak mengesahkan.. nama Gem 5 dipanggil. Oleh kerana namanya yang pertama di panggil dan memecah sessi penantian, maka rakan-rakan di belakang memberi sorakan yang gemuruh. Alahai... rasa seperti mimpi. Lalu, saya terbayang angan-angan untuk glamour semalam. Walaupun cuma dalam bentuk gurau senda.. jika Allah memakbulkan maka suasana itu dirasai walau di tempat yang berbeza dan di atas alasan yang tidak sama.

Pelukan erat untuk guru besar!

Terima kasih yang tidak terhingga untuk semua warga sekolah. Tidak kira apa bentuk sumbangan, warga sekolah ini telah berjaya menukar anak kami dari terpendam dan pasif menjadi aktif dan luar biasa. Alhamdullillah. Semoga Allah memberi kalian kedudukan yang terpuji di sisiNya.

Wolfie Dalam Kenangan

Wolfie anak Gifty, dalam kenangan. Kerana melihat melihat Wolfie lemah, kami sempat membawanya ke klinik. Rupanya, mulutnya penuh ulcer sehingga sudah bernanah.

Wolfie.. anak kucing comel sudah melangkah ke alam lain. Kadang-kadang masih terbayang renungan terakhirnya. Lalu, entri ini ditulis sebagai tanda kenangan.

Wolfie dan adik-beradiknya ketika berumur sehari


 Wolfie lemah

 Di klinik sebelum mendapat rawatan

Pandangan terakhir seperti mengucapkan selamat malam dan selamat tinggal sebelum ditemui mati pada waktu paginya

Wednesday 15 February 2017

Lain yang Dirancang, Lain yang Tersurat

Semalam ambil cuti. Banyak perkara yang dirancang untuk diselesaikan. Tapi akhirnya, pepagi hari sudah ke klinik. Siapa sakit? Tengok gambar di bawah!


Winter! Tersorok di belakang seperti anak kecil ketakutan untuk jumpa doktor...


Monday 13 February 2017

Pablo Dalam Kenangan

Hari ini baru buka pintu keluar rumah, mata tertengok ke sudut bawah... apa yang sudah berlaku? Terlihat satu pandangan yang menyayukan, seekor tupai sedang mengadap sahabatnya yang sudah terbaring di lantai.

Pablo yang comel ini...

.. sudah dalam kenangan .. selepas hampir 4 tahun bersama..


Thursday 26 January 2017

Puas - Apabila Batu Menjadi Permata

Semalam seorang pelajar datang ke bilik dengan penuh rasa sukacita menyerahkan projek tahun akhirnya dalam bentuk hardbound. Berkali-kali beliau mengucapkan terima kasih kerana menyelia projeknya.

Lalu, saya teringat ketika menerimanya setahun lalu. Sudahlah lambat menjumpai saya untuk melamar menjadi penyelia projek beliau, ditambah pula dengan kenyataan jujur tulusnya bahawa inilah kali pertama beliau akan membuat sistem komputer secara berdikari. Sebelum ini hanya menumpang-numpang dan mengelak kerja yang sukar. Kata beliau, beliau tidak upaya. Pengakuan jujur itu menimbulkan kemarahan dari pihak saya. Kerana hal ini tidak boleh berlaku. Ia tentang satu kemahiran asas yang tidak dimiliki. Namun, saya menerima juga beliau dengan berkata jika anda meneruskan projek cadangan ini, anda hanya akan mampu mencapai gred C. Ia idea projek yang sangat biasa. Di akhir pertemuan itu, beliau berkata sangat mujur untuk saya menerima beliau. Beliau akan cuba membuat yang terbaik biarpun hanya untuk gred C.

Kami bersama-sama menjalani kehidupan bersekitar projek itu. Sangat kerap laporan yang dihantar beliau, saya mencontengnya dengan pangkah merah yang besar. Ini tidak kena. Itu tidak kena. Baiki semula! 

Ada kalanya saya tidak menjawab langsung mesejnya yang dihantar kerana terkadang beliau tidak menepati masa. Dan beliau sangat cuba untuk tidak mengulangi lagi.

Banyak kali saya memaksa beliau menyudahkan laporan mendahului masa penghantaran. Kerana bagi saya, laporan yang dihantar pada saat akhir tidak mampu saya baiki secara halus kerana keterbatasan masa. Beliau akur juga.

Dua hari lepas, ketika majlis anugerah diadakan.. saya hadir lambat kerana ada urusan lain di fakulti. Ketika saya melangkah masuk ke dewan, beliau mendapatkan saya dengan muka senyum lebar. Projek yang mulanya sangat biasa itu menjadi luar biasa dan menjadi pilihan panel industri. Saya tidak sangka. Apatah lagi beliau sendiri.

Semalam, ketika berpelukan ... beliau menyatakan ... "Madam... madam supervisor terbaik saya. Walaupun saya selalu kena marah.. saya akhirnya telah berjaya untuk berdikari..".

Alahai.. puasnya hati saya ketika mendengar pernyataan itu. Saya kira itulah kejayaan yang utama untuk saya juga kerana saya telah berjaya mengilap batu menjadi permata! 

Thursday 19 January 2017

Menjadi Minimalis - Satu Analisa

Sudah lebih setahun  berlalu rupanya saya menulis entri ini Menjadi Minimalis. Ketika itu ia seperti satu azam tahun baru yang terbit atas analisa semasa ketika itu tentang fesyen-fesyen di pasaran. Saya kira pada waktu itu saya sudah bosan mengejar peredaran fesyen yang pantas bertukar. Kita seperti menjadi hamba yang lurus mengikut dan akan sentiasa kalah dalam perlumbaan ini. Hari ini kita berkejar, esok yang lain datang mengganti dan urusan itu akan berlaku tanpa henti. Di rumah, almari semakin sesak. Bertimbun. Lalu, saya ingin lari dari kekalutan itu. Saya kira, jika kita memilih jenis kain yang kita selesa, merekabentuk sendiri pakaian itu, kita akan berada di dalam dunia kita sendiri. Tidak perlu berlumba lagi. Saya lakukan keinginan itu.

Hari ini, azam itu telah menjadi rutin dan kini sudah melepasi jangkamasa setahun rupanya. Saya telah memilih warna hitam, kain chiffon beralas. Saya telah menganalisa dari cubaan rekabentuk baju yang telah lalu, akhirnya saya telah memilih satu. Terima kasih yang tidak terhingga untuk Zan, yang sudi menjahit dan melayani kerenah saya dengan sabar. Dan akhirnya beliau berjaya menghabiskan tugasan dengan bilangan pasangnya sangat minima.

Dengan warna hitam dan bilangan pasang yang minima itu, saya telah berjaya melalui pelbagai peristiwa. Namakan.... kenduri.. majlis hari jadi... kematian... raya... majlis konvo Gem 3.. saya telah menyertainya dengan gaya minimalis itu. Cuma tudung saja yang saya tukar gantikan sebagai titik fokus mata yang melihat.

Malah dengan gaya minimalis itu saya telah memgembara ke Dubai, berada di bangunan yang kononnya tertinggi di dunia. Saya juga mengenakan baju dari koleksi yang sama untuk membentangkan kertas kerja di tengah-tengah suasana sangat sedikit bilangan wanita yang menyertainya di Amman, Jordan. Di sana juga, saya telah melewati kehebatan sejarah Petra dan melawat gua Kahfi. Saya telah melalui pengalaman bermalam di tengah-tengah padang pasir menyaksikan gemilang bulan bintang bergugusan di angkasa. Di situ saya telah menyaksikan buat kali pertama seumur hidup planet Zuhal dan Musytari yang cantik dan terasa seperti mimpi.

Ya.. saya telah melalui pelbagai deretan majlis dan peristiwa dengan koleksi minimalis itu dengan rasa sangat selesa.

Alhamdullillah. Inilah antara kata yang telah saya kotakan untuk diri sendiri. Tiada paksaan. Apa yang saya rasa? Tenang - Saya tidak perlu fikir perlu berlumba lagi. Mudah - Ketika hendak bermalam di mana-mana, ia muat untuk sebuah beg kecil sahaja. Pada masa yang sama, ia tanpa sengaja bertukar menjadi satu lambang identiti. Apa orang kata? Ada saya kisah? Tetapi sesekali dengan gaya yang minimalis itu, ada yang menepuk belakang sambil berkata 'cantiknya'.. beli dimana? Bila saya bercerita tentang ia direka sendiri..lalu ada beberapa individu yang minta saya menjualnya dan mereka ingin membeli. Sesekali terliur juga dengan permintaan itu. Tetapi keinginan itu dimatikan kerana ia satu identiti yang disayangi.. biarlah ia begitu.

Ya Menjadi Minimalis... akhirnya saya sudah lebih setahun mengotakan azam itu. Mudah. Tenang. Selesa. 


Sunday 15 January 2017

Kita Tidak Tahu

Kita tidak tahu.. bilakah mimpi-mimpi kita akan menjadi kenyataan.

Kita mungkin seringkali hampir-hampir putus harap .. kerana terlalu lama menanti.

Terlalu lama di dalam takrifan kita yang menanti.. tidak perlu mencapai kurun atau abad.. ada kalanya beberapa minit.. beberapa jam.. beberapa hari .. beberapa bulan.. beberapa tahun.. terasa sangat lama dan menjadi siksa.

Agaknya .. kita mungkin lupa..

Para Nabi-Nabi dulu yang sangat hampir dengan Rahmat Tuhan.. perlu juga menunggu lama untuk mereka diberi Allah pertolongan. Ada yang berpuluh tahun.. ada yang beratus tahun. Tetapi mereka dengan sabar tetap menunggu...

Kita tidak tahu... bagaimanakah pertolongan Allah untuk kita di masa hadapan..

Seperti Nabi Musa tidak tahu bahawa di penghujung perjuangannya menghadapi Firaun, laut akan terbelah di hadapan..

Sebagaimana Nabi Ibrahim.. ketika hendak menyembelih anaknya Ismail... digantikan dengan kambing kemudiannya..

Kita tidak tahu...

Bersabarlah.. mudah-mudahan mimpi-mimpi itu datang satu-per-satu!